ASSALAMUALAIKUM dan SALAM SEJAHTERA..
Nampaknya sudah berlaku satu sejarah dalam pilihanraya di Jepun..Kemenangan parti DEMOKRAT PARTY OF JAPAN (DPJ) atau dalam bahasa Jepunnya 民主党 dalam pilihanraya menumbangkan parti Liberal Demokratik Japan (LDP) atau dalam bahasa Jepunnya 自民党 yang telah memerintah Jepun secara perkongsian kuasa dengan parti-parti kecil selama 54 tahun.. Ini adalah satu bentuk sejarah bagaimana sebuah parti politik yang asalnya kuat, mempunyai asas yang kukuh dan menjadi asas kepada pembentukan sesebuah negara boleh tumbang sekelip mata jika dipimpin oleh mereka yang lemah dan tidak berwibawa..
Berikut adalah analisa daripada Utusan Malaysia..
Agenda rakyat bawa kemenangan DPJ
Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI
luarnegara@utusan.com.my
AKHIRNYA, Parti Liberal Demokratik (LDP), yang telah memerintah Jepun secara terus-menerus selama 54 tahun dan banyak berjasa membawa negara Matahari Terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia, kecundang di tangan parti pembangkang baru - Parti Demokratik Jepun (DPJ), sebuah parti berhaluan tengah-kiri.
Kekalahan dramatik LDP itu, sekali gus mencatat sejarah dalam politik Jepun, apabila sebuah parti paling kuat dan berpengaruh tumbang di tangan parti baru, yang tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah.
Kekalahan itu turut menamatkan krisis dalaman LDP, yang menjadi antara punca utama kekalahan parti itu, apabila Perdana Menteri Jepun Taro Aso yang memimpin LDP dan beberapa pemimpin kanan parti itu mengumumkan akan meletakkan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas kekalahan teruk LDP pada pilihan raya Jepun, Ahad lalu.
Kejatuhan LDP adalah akibat kemarahan rakyat dan kekecewaan rakyat yang meluap-luap setelah parti itu mengabaikan kepentingan rakyat dan lebih memberi tumpuan kepada golongan korporat dan birokrat.
Kelemahan kepimpinan Aso serta pelbagai skandal yang melingkari Kabinetnya, sejak dia mengambil alih teraju parti dan kerajaan tidak sampai setahun lalu, turut menyumbang kepada kekalahan LDP.
Tanda-tanda kekalahan LDP telah bermula sejak 2006, selepas Perdana Menteri Jepun yang berpengaruh, Junichiro Koizumi meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, bayang-bayang kekalahan LDP sebenarnya telah bermula lebih awal sejak 1990-an lagi, apabila dasar pasaran bebas yang diperkenalkan oleh parti pemerintah itu memakan diri apabila dasar itu mewujudkan jurang ketara antara golongan miskin dan kaya di Jepun.
Kesilapan LDP ialah apabila dasar itu yang telah mewujudkan kebencian di kalangan rakyat terhadap parti pemerintah itu, diteruskan oleh Aso melalui kempen 'mesra perniagaan' yang diperjuangkannya pada pilihan raya Ahad lalu, yang akhirnya membawa padah.
Sejak Koizumi meletakkan jawatan pada 2006, LDP telah melantik tiga Perdana Menteri termasuk yang terakhir Taro Aso.
Segala dasar mengenai ekonomi yang dirancang LDP menemui jalan buntu kerana kedudukan LDP yang lemah di Dewan Tinggi yang dikuasai DPJ.
Ketika inilah DPJ yang ditubuhkan pada 1998, memperluaskan pengaruhnya. Rakyat mula melihat DPJ yang dipimpin Yukio Hatoyama, sebagai pilihan untuk membawa Jepun keluar daripada kemelut ekonomi.
Kemenangan DPJ pula banyak dipengaruhi oleh janji-janji Yukio Hatoyama yang mendokong agenda rakyat dan lebih memandang kepada Asia berbanding kempen 'mesra perniagaan' yang dibawa LDP.
Hatoyama antara lain berjanji untuk mengurangkan pergantungan Jepun kepada Amerika Syarikat (AS), sebaliknya mahu berkerja rapat ke arah pembentukan Komuniti Asia Timur berdasarkan model Kesatuan Eropah, yang turut diperjuangkan oleh ASEAN.
Corak kekalahan parti LDP di Jepun seolah-olah memberikan satu petanda yang sama kepada UMNO jika tidak berhati-hati dan masih mementingkan kepetingan golongan tertentu di dalam parti.. Setakat manakah UMNO mengambil iktibar daripada kekalahan LDP di Jepun? Entahlah.. Masa yang tinggal untuk UMNO sebenarnya tidak lama lagi.. Hanya sekitar dua tahun sahaja.. Rasanya UMUM mengetahui samada UMNO semakin kuat atau sebaliknya..
Hatoyama Yukio pemimpin DPJ sebenarnya pernah mengalami jatuh bangun semasa memimpin DPJ.. Malah sebenarnya ini adalah kali kedua beliau dilantik mengetuai DPJ selepas beliau meletakkan jawatan tahun 2001 kerana masalah dalaman DPJ.. Dengan kata lain, Hatoyama sebenarnya sudah menghadapi cabaran sebelum akhirnya bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang baru.. Kemenangan besar DPJ sebenarnya turut dibantu oleh persaraan pemimpin LDP yang amat berpengaruh iaitu Junichiro Koizumi.. Selepas persaraan beliau, hampir tidak ada pemimpin LDP yang mampu memberikan tahap kepimpinan setanding beliau.. Semua 3 Perdana Menteri selepas beliau memegang tampuk kuasa lebih kurang setahun aje..
Mungkinkah perkara yang sama berlaku dalam UMNO? Nampaknya macam tu lah.. Tanda-tanda dah ada pun.. Dengan sekali kejatuhan, segala jasa-jasa UMNO dan segala pengorbanan pemimpin terdahulu boleh jadi habuk sekelip mata.. Untuk membina kembali UMNO adalah satu perkara yang mustahil.. Tidak ada siapa lagi yang mampu membantu UMNO melainkan semua di dalam UMNO berubah sebelum rakyat mengubah segala-galanya..
Wallahualam..
No comments:
Post a Comment
KOMEN yang membina dan menggalakkan wadah perbincangan sangat dialu-alukan